Terengganu FC terima tajaan RM500,000

Iklan
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Razali Idris (lima dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Mohd Sabri (empat dari kanan) dengan Zakaria (lima dari kiri) pada Majlis Perasmian Pembukaan Rimba Razia dan Majlis Menandatangani Penajaan Terengganu FC di Rimba Razia, Kampung Dusun, hari ini. Foto Bernama

PASUKAN bolasepak Terengganu FC (TFC) mendapat suntikan baharu menjelang aksi Liga Malaysia (Liga M) apabila menerima tajaan bernilai RM500,000 daripada Rimba Razia Petting Zoo bagi tempoh semusim.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, selain penajaan berbentuk wang tunai, ia turut membabitkan tajaan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk pasukan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penajaan itu bukan sahaja dapat melancarkan perjalanan dan pengurusan skuad Penyu, malah mengurangkan kebergantungan pasukan terhadap dana daripada kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, kita masih mengharapkan penajaan daripada pihak yang berminat sebagai persediaan menghadapi musim Liga M yang panjang," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani penajaan TFC sesi 2024/2025 di Rimba Razia Petting Zoo di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Dalam pada itu, Pengerusi Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, prestasi cemerlang dipamerkan TFC dalam beberapa tahun kebelakangan ini mendorong beliau untuk tampil sebagai sebahagian daripada penaja bagi musim ini.

Iklan

Beliau berharap sumbangan itu dapat memperkukuhkan lagi kedudukan skuad Penyu di persada bola sepak Malaysia selain membantu mempromosikan zoo miliknya itu yang baru sahaja memulakan operasi pada Julai tahun lepas.

"Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai anak Terengganu dan peminat tegar bola sepak. Insya-ALLAH sekiranya prestasi syarikat dan TFC bertambah baik, kita akan tambah lagi penajaan pada masa depan," katanya. - Bernama