Bayar bil elektrik di saluran rasmi TNB

Iklan
Ir Megat Jalaluddin

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan pengguna sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan tindakan sesetengah pihak yang menyamar sebagai ejen kutipan bayaran bil bagi pihak TNB.

Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan Megat Jalaluddin berkata, TNB masih menerima aduan daripada pengguna mengenai sindiket penipuan pembayaran bil elektrik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara taktik penipuan termasuk menawarkan diskaun atas jumlah bil elektrik jika membuat pembayaran melalui mereka atau membuat panggilan telefon menggesa pengguna membayar tunggakan bil ke akaun bank tertentu untuk mengelakkan bekalan elektrik dipotong.

"Bagi pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik, TNB telah melantik agensi tertentu sebagai Ejen Kutipan Hutang yang rasmi namun pembayaran masih perlu dibuat melalui saluran pembayaran rasmi TNB," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Katanya, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 untuk sebarang pertanyaan mengenai akaun mereka dan senarai penuh saluran pembayaran rasmi TNB boleh didapati di laman web TNB.

Beliau turut menasihatkan pengguna membayar bil elektrik melalui tiga saluran yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Iklan

Katanya, saluran itu ialah di kios atau kaunter Kedai Tenaga di seluruh negara, pembayaran dalam talian menerusi portal myTNB (www.mytnb.com.my) dan aplikasi mudah alih myTNB.

"Selain itu pengguna boleh membuat bayaran menerusi saluran alternatif seperti perbankan dalam talian (online banking) dan JomPay, kaunter Pos Malaysia, rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, Kedai Mesra Petronas, rangkaian kedai 99 Speedmart, dan kios PayQuick.

"Mereka juga boleh mendaftar untuk pembayaran bulanan secara debit terus (monthly direct debit) menerusi kad kredit atau akaun bank. Pastikan resit pembayaran diterima dan disimpan sebagai bukti bagi setiap transaksi," katanya.