Malaysia kecam serangan Israel ke atas Rafah

Iklan
Rakyat Palestin memeriksa runtuhan bangunan yang rosak akibat serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Foto xinhua

PUTRAJAYA - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan besar-besaran Israel di bandar selatan Rafah di Gaza yang mengorbankan 100 rakyat Palestin sedang berlindung.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan memaklumkan serangan kejam dan tidak berperikemanusaan itu akan meningkatkan lagi ketegangan dan malapetaka kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Tegas KLN, Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan tersebut dan mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.

"Operasi ketenteraan yang berniat jahat ini dengan jelas memperlihatkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri," ujarnya.

Iklan

Serangan itu juga mempamerkan sikap angkuh rejim Zionis membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 26 Januari 2024 mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel.

"Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan," jelas KLN.

Iklan

Menurut kementerian itu, Malaysia menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka baharu oleh rejim Zionis.

Masyarakat antarabangsa juga perlu melaksana tanggungjawab serta menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan.

"Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh PBB," kata kementerian itu.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan serangan yang dilancarkan pada Subuh Isnin menyebabkan korban 52 orang.

Kenyataan itu kemudian disemak semula dengan mengesahkan kira-kira 100 orang terbunuh.

1.4 juta rakyat Palestin berkerumun di Rafah dengan sebahagian besar tinggal di dalam khemah, manakala makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.