Rancang perjalanan, urus emosi sebaik-baiknya sebelum balik kampung

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pengguna jalan raya disarankan membuat perancangan dan menguruskan emosi sebaik-baiknya sebelum memulakan perjalanan, terutama kepada individu atau keluarga yang akan melalui tempoh yang lama untuk balik ke kampung bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Ketua Unit Analisa Tingkah Laku dan Pendidikan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Maslina Musa berkata, pengurusan emosi pemandu kian penting dalam zaman ini apabila orang sering mengejar masa dan cenderung untuk melanggar isyarat dan peraturan jalan raya.

Iklan
Iklan

"Amukan di jalan raya akan terjadi sekiranya emosi tidak diuruskan secara baik, menyebabkan tingkah laku agresif dan tidak peka dengan keadaan sekeliling, seterusnya membawa risiko kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika menjadi tetamu dalam program"Apa Khabar Malaysia" terbitan Bernama TV pada Isnin.

Beliau berkata, selain membuat perancangan perjalanan dengan baik, pemandu harus menjangkakan lebih banyak masa akan dihabiskan di jalan raya berikutan aliran trafik tinggi pada musim perayaan.

Iklan
Maslina berkata, sehubungan dengan itu, peranan penumpang bahagian hadapan juga sama pentingnya untuk memastikan keadaan di dalam kenderaan aman dan tenang supaya emosi dan perhatian pemandu tidak dipengaruhi.

"(Penumpang bahagian hadapan) jangan jadi batu api, sekiranya berlaku apa-apa kemalangan, fokus dan tenangkan diri (serta pemandu), elakkan daripada membuat reaksi yang berkemungkinan besar memudaratkan semua pihak.

"Bolehlah juga berbual-bual dengan pemandu pasal perkara yang positif bagi mengekalkan perhatian. Untuk yang berkeluarga, bantu kawal anak-anak di belakang kereta dan pastikan mereka tidak mengganggu pemanduan," katanya.

Iklan

Beliau turut menasihatkan kepada semua pemandu untuk tidak memaksa diri dan mengambil masa berehat secukupnya sebelum atau semasa dalam perjalanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi pengguna lebuh raya. - Bernama