Kerusi ADUN berhijrah terbuka dituntut parti lain - Ewon

Iklan
Ewon ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen UPKO Zon E (Sipitang dan Wilayah Persekutuan Labuan), di Pusat Kebudayaan Lundayeh di Sipitang.

SIPITANG - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick tidak bersetuju kerusi yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berhijrah ke parti baharu kekal milik mereka.

Sebaliknya, beliau mahu supaya kerusi tersebut terbuka untuk dituntut mana-mana parti yang sehaluan bekerjasama untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Ewon yang juga ADUN Kadamaian mahu pembahagian kerusi antara parti yang bekerjasama pada pilihan raya akan datang haruslah bersifat baharu dan segar.

"Kita maklum semua parti akan mengemukakan pandangan dan tuntutan. Sebab itu saya mengatakan perbincangan itu haruslah sesuatu yang segar dan baharu.

Iklan

"Apa yang penting, parti baharu dan gabungan yang baharu diwujudkan itu tidak harus menuntut hanya kerana ADUN yang berhijrah itu sudah berada dalam parti mereka, maka kerusi itu diberikan kepada gabungan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen UPKO Zon E (Sipitang dan Wilayah Persekutuan Labuah), di Pusat Kebudayaan Lundayeh Sabah, di sini pada Ahad.

Iklan

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menambah, pembahagian kerusi juga diharap dapat dibincangkan secara teliti semasa PRN akan datang.

"UPKO sentiasa terbuka untuk berbincang bagi mencari titik persetujuan terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh setiap parti.

"Perbincangan pembahagian kerusi itu juga penting kerana tidak ada gabungan yang sama komponennya dengan sekarang berbanding pada 2020, ia sudah jauh berbeza.

"Maka perbincangan pengagihan kerusi kerjasama politik semasa PRN nanti adalah perbincangan baharu.

"Tidak ada yang boleh mengatakan kerusi ini milik mereka hanya kerana ADUN daripada parti itu yang telah berhijrah kepada parti baharu dan satu gabungan parti baharu telah diwujudkan selepas pilihan raya," tegasnya.