3,000 tentera simpanan Australia dikerah tangani kebakaran hutan

Iklan
Konvoi trak membawa bekalan bahan api, air dan pelbagai keperluan lain menaiki kapal HMAS Adelaide menuju ke NSW. - Foto: ABC News

SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini mengumumkan seramai 3,000 anggota tentera simpanan dikerah bagi menangani siri kebakaran hutan yang melanda negara itu.

"Keputusan hari ini mengerah lebih ramai anggota di lapangan," kata Morrison yang dikecam susulan tindakan beliau mengatasi situasi bencana yang berlarutan selama berbulan-bulan itu.

Iklan
Iklan

Seorang jeneral turut dilantik bagi memantau gerak kerja pasukan tentera dalam menangani krisis terbabit dan kapal HMAS Adelaide juga dikerah dalam usaha membantu memadam kebakaran.

Selama berbulan-bulan, pasukan tentera Australia menghulur bantuan dalam operasi tinjauan udara, pemetaan, mencari dan menyelamat, sokongan logistik dan udara.

Iklan

Terdahulu, kira-kira 2,000 anggota tentera telah dikerah bagi membantu memadamkan kebakaran hutan yang setakat ini meragut 23 nyawa, 17 kematian direkodkan di negeri paling padat penduduk, New South Wales.

Di bandar kecil Mallacoota, tentera laut Australia memindahkan kira-kira 1,000 orang yang terperangkap selama berhari-hari di kawasan pantai susulan kebakaran hutan.

Iklan

Kapal pertama daripada dua buah kapal yang membawa penduduk, haiwan peliharaan dan harta benda penduduk tiba berhampiran Melbourne awal pagi ini.

"Kerajaan tidak mengambil mudah keputusan ini. Ia merupakan kali pertama anggota tentera simpanan dikerah dengan cara sebegini dan saya percaya ia kali pertama dalam sejarah negara kita," kata Menteri Pertahanan, Marise Payne.

Pada penghujung tahun lalu, sejumlah kecil anggota simpanan telah dikerah bagi membantu menangani krisis kebakaran hutan di Queensland.

Pengumuman dibuat selepas kritikan hebat dilemparkan terhadap Morrison berhubung keputusannya bercuti di Hawaii di tengah-tengah krisis kebakaran hutan dan keengganan meningkatkan sasaran mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta membendung eksport arang batu.

Morrison bagaimanapun mempertahankan caranya menangani krisis dan berkata, komuniti yang terlibat dalam situasi kebakaran itu sedang berdepan pelbagai emosi.

"Mangsa yang terlibat dalam situasi kebakaran itu mempunyai emosi bercampur baur. Tangan ini telah menghulurkan banyak pelukan," ujar Morrison. - AFP