Dana tambahan PHEKS bantu MTUC jalankan pelbagai program

Iklan
Mohd Effendy Abdul Ghani

SHAH ALAM - Kenaikan peruntukan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dapat membantu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjalankan pelbagai program berkaitan kesejahteraan pekerja seperti insurans kesihatan, pendidikan atau bantuan krisis.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dana tambahan itu membolehkan mereka menjalankan program berkenaan untuk menyokong kepentingan pekerja.

Iklan
Iklan

"MUTC percaya dengan falsafah 3K seiring dengan konsep K2P (kesedaran, pelaksanaan dan penguatkuasaan),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kenaikan daripada RM2.6 juta kepada RM5.8 juta pada tahun ini selaras dengan pendirian kementeriannya untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara selain memerlukan kesatuan sekerja terus didukung dan diperkasa.

Iklan

Katanya, had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga dinaikkan daripada RM10,000 tahun lalu kepada RM20,000 bagi tujuan memperkasa pengurusan.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, geran berkenaan membolehkan pihak kesatuan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli mereka seperti bantuan undang-undang, nasihat pekerjaan dan sokongan dalam perundingan gaji.

Iklan

"Mereka dapat meningkatkan aktiviti advokasi untuk melindungi hak pekerja dan memperjuangkan perubahan positif di peringkat undang-undang atau dasar bagi menyokong kesatuan.

"Selain itu, solidariti dalam kalangan kesatuan juga boleh dikukuhkan dan membina persepsi kebersamaan,” ujarnya.