Misi sukar Speedy Tigers di Oman

Iklan
Skuad hoki negara terpaksa akur tewas 2-3 kepada China dalam aksi pertama pusingan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman pada tengah malam Isnin. Foto FB MHC

MISI wajib menang skuad hoki negara pada aksi pertama Kumpulan A menentang China dalam pusingan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman pada tengah malam Isnin tidak kesampaian.

Skuad Speedy Tigers yang dibimbing Arul Selvaraj gagal merobohkan tembok besar China itu apabila terpaksa akur tewas 2-3.

Iklan
Iklan

Kegagalan tersebut menyaksikan peluang menamatkan 24 tahun badi layak ke Sukan Olimpik kian sukar.

Dalam aksi itu, skuad negara terlebih dahulu di depan menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-29.

Iklan

China bagaimanapun bangkit meraih dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi penalti stroke Lin Chang Liang dan gol padang, Chao Jie Ming.

Malaysia kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan dengan baik oleh Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-47.

Iklan

Impian Malaysia untuk melakar kemenangan bagaimanapun dimusnahkan oleh Gao Jie Sheng yang meledak gol kemenangan China pada minit akhir perlawanan menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia akan menentang Great Britain pada Rabu sebelum berdepan Pakistan dalam aksi terakhir kumpulan pada 18 Januari.

Peluang dijangka sukar untuk menang ke atas Great Britain dan skuad negara tidak mempunyai pilihan selain turut perlu wajib memenangi aksi bertemu Pakistan untuk berada di kedudukan dua teratas kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir.

Tiga pasukan terbaik pada kejohanan kali ini layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada tahun 2000 ketika ia diadakan di Sydney, Australia.