'Jangan persoal kesetiaan rakyat Malaysia' - Rafidah

Iklan
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia terhadap negara yang sudah merdeka selama 67 tahun.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan, perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan kerana sepanjang tempoh negara mencapai kemerdekaan, rakyat Malaysia masih hidup bersatu padu.

Iklan
Iklan

"Sebagai rakyat Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita benar-benar bersatu dalam perpaduan, menghormati dan menerima kepelbagaian dalam kalangan kita.

"Kepelbagaian itu suatu anugerah, sebab itu cogan kata kita 'Bersatu Bertambah Mutu'," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian bersama saluran TV satelit di India mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini ekoran 'terikat' dengan negara asal.

Dalam pada itu, Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO berkata, sejak akhir-akhir ini wujud pandangan mengenai siapa rakyat Malaysia daripada perspektif pihak tertentu, sekali gus mencetuskan perdebatan.

Iklan

Namun hakikatnya, sudah ramai rakyat Malaysia dalam pelbagai usaha dan bidang telah berjaya membanggakan negara.

"Mereka melakukannya sebagai rakyat Malaysia walaupun sebilangannya tidak mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Kini sudah 2024, marilah kita semua terus menghormati kepelbagaian yang ada dan menerimanya dengan sepenuh hati," ujarnya.

habis//