Korea Utara bakal bangunkan senjata strategik baharu

Iklan
Pyongyang mengisytiharkan moratorium terhadap ujian nuklear dan ICBM pada akhir 2017. - Foto: Agensi

SEOUL - Korea Utara menamatkan moratorium terhadap ujian nuklear dan misil balistik antara benua (ICBM).

Media tempatan hari ini melaporkan pengumuman itu dibuat pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un selepas tarikh akhir yang diberikan kepada Amerika Syarikat (AS) untuk tawaran konsesi baharu dan menarik semula sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara berakhir semalam.

Iklan
Iklan

"Tiada lagi keperluan kepada kami untuk meneruskan komitmen sebelah pihak. Dunia akan menyaksikan senjata strategik baharu yang akan dibangunkan Pyongyang dalam masa terdekat,” lapor agensi berita KCNA memetik kenyataan Jong-un ketika beliau memaklumkan kepada anggota parti pemerintah, Parti Pekerja.

Bagaimanapun, beliau masih membuka pintu untuk sesi dialog dan sebarang skop ujian pada masa akan datang bergantung kepada ‘sikap’ AS.

Iklan

Momentum rundingan antara Pyongyang dan Washington terhenti selepas AS enggan menarik balik sekatan ke atas negara itu sehingga ia meninggalkan sepenuhnya program nuklear mereka.

Menjelang akhir 2019, Korea Utara melancarkan beberapa ujian senjata kecil yang dilihat sebagai cubaan memberi tekanan kepada AS untuk konsesi.

Iklan

Difahamkan, Pyongyang tidak melakukan sebarang ujian nuklear sejak 2017.

Beberapa jam selepas pengumuman itu dibuat, Presiden Donald Trump dalam satu kenyataan menegaskan Jong-un telah menandatangani kontrak tentang denuklearisasi di Singapura pada 2018 dan bilionair hartanah itu percaya beliau adalah individu yang menunaikan janjinya. - Agensi