Jakarta laksana pemberian vaksin Covid-19 berbayar mulai 1 Januari

Iklan
Perkhidmatan Kesihatan DKI Jakarta akan melaksanakan vaksinasi Covid-19 berbayar mulai 1 Januari 2024. Foto hiasan

JAKARTA - Perkhidmatan Kesihatan DKI Jakarta akan melaksanakan vaksinasi Covid-19 berbayar mulai 1 Januari 2024, dan mengingatkan orang ramai supaya segera melengkapkan vaksinasi mereka di perkhidmatan kesihatan terdekat sementara masih percuma, lapor agensi berita ANTARA.

"Mulai 1 Januari 2024, orang ramai wajib membayar untuk vaksin Covid-19,” menurut Ketua Perkhidmatan Kesihatan DKI Jakarta, Ani Ruspitawati, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, vaksin Covid-19 berbayar ini melibatkan semua dos vaksin. Bagaimanapun, warga emas dan kumpulan yang mudah terjejas masih diberikan vaksin Covid-19 secara percuma.

Ruspitawati masih belum memperincikan kos yang akan dikenakan bagi setiap dos vaksin kerana masih menunggu mekanisme perkhidmatan dan teknikal daripada Kementerian Kesihatan.

Iklan

"Mungkin orang ramai dikenakan bayaran biasa seperti vaksin berbayar lain. Bagaimanapun, kita masih perlu menunggu keputusan kementerian," katanya.

Sehingga hujung 2023, beliau mengesahkan bahawa semua vaksin Covid-19 masih percuma dan boleh didapati di semua pusat kesihatan daerah kecil di Jakarta.

Iklan

Kerajaan wilayah DKI Jakarta turut mengingatkan orang ramai supaya melengkapkan vaksinasi Covid-19, memakai pelitup muka dan menjaga kesihatan bagi mencegah penularan virus sempena cuti Tahun Baharu.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menggesa orang ramai supaya terus memakai pelitup muka dan mengamalkan amalan hidup bersih dan sihat bagi mengelak potensi lonjakan kes Covid-19, terutama di kalangan warga emas dan orang yang tidak divaksin.

Terdahulu, Presiden Joko Widodo mengingatkan orang ramai bahawa rawatan pesakit Covid-19 tidak lagi dilindungi oleh kerajaan memandangkan status telah bertukar daripada pandemik kepada endemik.

"Jika anda dijangkiti Covid-19 semasa endemik, anda mesti membayar untuk mendapat rawatan," katanya di Bogor, Jawa Barat pada Jun. - Bernama