Empat remaja bawah umur didakwa terlibat jenayah seksual

Iklan
Keempat-empat remaja lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.

TEMERLOH - Empat remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan berasingan melibatkan kes jenayah seksual.

Seorang remaja berusia 15 tahun didakwa atas pertuduhan merogol seorang pelajar pada 10 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Ti Pei.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di taman perumahan di Mentakab di sini di antara jam 11 hingga 11.30 pagi pada 10 Oktober lalu.

Iklan

Tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pei Si kemudiannya menetapkan sebutan semula kes itu pada 23 Januari depan untuk pengurusan kes selain mengenakan ikat jamin RM1,000 dan seorang penjamin.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Asisten Superintendan Marina Hashim.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat bagi kes rogol remaja 15 tahun itu.

Tertuduh yang berusia 15 dan 17 tahun itu turut tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapkan kepada mereka.

Mereka didakwa menolak mangsa masuk ke dalam bilik tidur dan terus mengunci pintu rumah berkenaan pada waktu dan hari kejadian sama.

Kedua-duanya didakwa bersubahat dengan rakan mereka dan boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 376 KK yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, seorang lagi rakan mereka turut dihadapkan di mahkamah sama atas pertuduhan kesalahan seksual terhadap seorang lagi mangsa iaitu pelajar perempuan berusia 13 tahun di lokasi berasingan pada hari sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 17 tahun didakwa telah melakukan perbuatan lain melibatkan kontak fizikal terhadap mangsa tanpa persetujuan iaitu dengan mencium bahagian dada dan meninggalkan kesan kemerahan di sebuah bilik tidur di antara jam 3 hingga 6 petang 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.