Pelajar UUM pendebat terbaik keseluruhan Bahasa Melayu

Iklan
Kemenangan itu menyaksikan Faris Daniel Rizal Zainorizal, 20, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 dan piala. - Foto: UUM

SINTOK - Pendebat Universiti Utara Malaysia diumumkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan Kategori Bahasa Melayu (Muda) dalam Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Edisi Ke-24 pada Isnin.

Kemenangan itu menyaksikan Faris Daniel Rizal Zainorizal, 20, membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan piala.

Iklan
Iklan

Menurut pelajar Semester 3 Sarjana Muda Undang-undang itu, tajuk usul yang sukar selari isu semasa menjadi satu cabaran yang terpaksa ditempuhinya sebelum berjaya meraikan kejayaan sebagai pendebat terbaik keseluruhan.

"Saya gembira dengan pengiktirafan diberikan dan berterima kasih kepada ibu bapa, rakan sepasukan, jurulatih dan keluarga besar Unit Debat Bahasa Melayu kerana sentiasa ada,” katanya yang terpaksa akur apabila tewas kepada pasukan debat dari UPNM pada peringkat suku akhir.

Iklan

Jelasnya, dia bersyukur atas peluang dapat mewakili UUM ke pertandingan tersebut dan penerimaan anugerah itu juga menjadi pendorong kepadanya untuk terus memantapkan gaya perdebatan pada masa hadapan.

Selain Faris Daniel, pasukan debat UUM itu turut diwakili pelajar Sarjana Muda Undang-undang iaitu Muhammad Tirmizi Rabidin, Farah Aulia Ahmad Sanusi dan Nadjween Hanie Mohd Mayan.

Iklan

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan merakamkan ucapan tahniah kepada pendebat UUM yang berjaya mengharumkan nama universiti dalam pertandingan tersebut.

"Jadikan kemenangan ini sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan dalam apa juga pertandingan yang disertai.

"Buktikan bahawa pelajar UUM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malahan mampu menyerlah dalam kegiatan kokurikulum seperti debat ini," katanya.

Sebanyak 85 pasukan mewakili 19 universiti awam dan empat institusi pengajian tinggi swasta mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat Diraja Antara IPT tahun ini.