Agong kurnia gelaran Tan Sri kepada Hakim Besar Malaya

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohamad Zabidin pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mohamad Zabidin mendahului senarai 298 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Iklan
Iklan

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke istiadat itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada sasterawan negara Profesor Madya Lim Swee Tin.

Iklan

Seri Paduka turut berkenan menganugerahkan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada 10 individu antaranya Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) dianugerahkan kepada 12 individu, Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 40 individu, Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) kepada seorang penerima dan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 55 individu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat meninggalkan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Iklan

Seri Paduka juga berkenan menganugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 178 individu.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Bernama