Mohamad Amirul Haikal ditemukan lemas

Iklan
Mayat Mohamad Amirul Haikal ditemui pasukan PPDA tersangkut pada pokok kira-kira 1.6 kilometer dari lokasi kejadian. - Foto Bomba Pahang (Gambar kecil: Mohamad Amirul Haikal)

KUANTAN - Pencarian pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau yang hilang di tali air perkampungan Indera Sempurna di sini, berakhir apabila mangsa ditemukan lemas pada Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, mayat Mohamad Amirul Haikal Che Jaapa, 14, ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 10.22 pagi.

Iklan
Iklan

"Mangsa ditemui kira-kira 1.6 kilometer dari lokasi kejadian iaitu berhampiran SMK Mat Kilau.

"Ketika ditemukan, mangsa tersangkut pada pokok semasa SAR (operasi mencari dan menyelamat) disambung pagi ini," katanya pada Ahad.

Iklan

Beliau memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Mohamad Amirul Haikal dikhuatiri lemas ketika mandi bersama enam rakannya di tali air perkampungan Indera Sempurna di sini, kira-kira jam 3.50 petang.

Iklan

Rakan mangsa, Muhammad Emil Zakuan Mazri, 14, berkata, dia cuba membantu rakannya itu yang mesra dipanggil Haikal selepas tergelincir ketika menaiki tebing tali air terbabit namun gagal.