FAM nafi Collina tegur mutu pengadilan Piala Malaysia

Iklan
Pierluigi Collina

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina menegur mutu pengadilan dalam aksi final Piala Malaysia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kenyataan Collina yang tular di media sosial adalah palsu.

Iklan

"FAM tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut.

"Apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, keputusan pengadil, S Logeswaran pada perlawanan final antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC menjadi pertikaian kerana didakwa berat sebelah.

Logeswaran dikecam selepas menganugerahkan sepakan penalti kepada JDT susulan sentuhan yang agak 'lembut' dilakukan pertahanan TFC, Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri.

Selain itu, pengadil dari Selangor itu juga tidak melayangkan kad merah kepada pertahanan JDT, Jordi Amat yang mengasari Ivan Mamut dalam kotak penalti ketika penyerang TFC itu mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol.

FAM juga dalam kenyataan sama menegaskan semua keputusan yang dibuat Logeswaran itu tepat selepas semakan video.

Iklan
Iklan