Final Piala Malaysia: Pengadil buat keputusan tepat, kata FAM

Iklan
Antara aksi pasukan JDT dan TFC pada final Piala Malaysia Jumaat lalu. - Foto Johor Southern Tigers

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil mempertahankan beberapa keputusan kontroversi pengadil ketika aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusan yang dibuat pengadil S Logeswaran adalah tepat selepas penelitian rakaman video dilakukan.

Iklan

"Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama JDT pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain TFC ke atas pemain JDT dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.

"Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan TFC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain JDT terhadap pemain TFC telah jelas dilihat dan dibantu oleh pembantu pengadil tambahan satu.

Iklan

"Keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada pembantu pengadil tambahan satu dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain TFC," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, keputusan Logeswaran dalam aksi final itu menjadi pertikaian ketika menganugerahkan sepakan penalti kepada JDT selepas sentuhan yang agak 'lembut' dilakukan pertahanan TFC, Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri.

Selain itu, Logeswaran juga tidak melayangkan kad merah kepada pertahanan JDT, Jordi Amat yang mengasari Ivan Mamut dalam kotak penalti ketika penyerang TFC itu mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol.

Dalam pada itu, Noor Azman turut menjelaskan alasan tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan enam Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengendalikan aksi final tersebut.

"Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.

"Baki dua lagi Pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil," katanya.

Menurutnya, pemilihan Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.

"Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A," katanya.

Iklan
Iklan