Lima lelaki ditahan bergaduh di PPR Jalan Sungai

Iklan
Lima lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah Flat PPR Jalan Sungai pada awal pagi Rabu. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Polis menahan lima lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian pergaduhan di sebuah Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai di sini pada awal pagi Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, suspek pertama telah ditahan di flat berkenaan, manakala empat lagi suspek ditahan ketika melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek pertama bagaimanapun dibawa ke Hospital Pulau Pinang kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala untuk rawatan lanjut.

"Kita menerima maklumat berhubung kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu warga tempatan di sebuah flat di Jalan Sungai pada jam 2.30 pagi.

Iklan

"Susulan daripada itu, sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut telah ke lokasi kejadian. Ketika tiba di situ, polis menahan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Suspek ketika itu sedang memegang sepucuk pistol, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah Saravanan, sementara itu, dua anggota polis yang menaiki motosikal telah mengejar sebuah kereta yang dinaiki empat suspek dipercayai mahu melarikan diri.

"Berlaku pelanggaran kedua-dua motosikal yang dinaiki anggota polis tersebut.

"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham antara kumpulan lelaki tersebut. Kita turut merampas sepucuk pistol dan sebilah senjata tajam yang digunakan dalam pergaduhan tersebut," katanya.

Ujar beliau, suspek berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun disiasat mengikut Seksyen Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

"Kesemua yang ditangkap telah direman untuk siasatan lanjut," katanya.