Tiga pesakit Covid-19 dirawat di ICU di Johor

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) di hospital di negeri ini merekodkan tiga kes sejak Sabtu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sementara jumlah kes yang masih dalam rawatan di hospital pula melibatkan 41 kes.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, sejak awal tahun sehingga Sabtu, secara kumulatif terdapat 401,104 kes Covid-19 yang telah dilaporkan di Johor.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 398,031 adalah jangkitan tempatan manakala baki 3,073 adalah kes import.

Iklan

"Penggunaan katil Covid-19 masih berada di bawah kadar 5.0 peratus," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, sehingga Sabtu Johor melaporkan 497 kes Covid-19 dengan Subvarian XBB iaitu Johor Bahru mencatatkan 274 kes; Muar (59 kes); Kulai (41 kes); Batu Pahat (35 kes); Kluang (25 kes); Kota Tinggi (25 kes); Pontian (18 kes); Tangkak (16 kes); Segamat (tiga kes) dan Mersing (satu kes).

Walaupun terdapat pelaporan Subvarian XBB katanya, situasi kes Covid-19 di negeri Johor masih terkawal.

Pada Ahad sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, majoriti kes iaitu 48 peratus membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Beliau berkata, kes mingguan Covid-19 dikesan telah melepasi angka 1,000 pada setiap minggu sejak ME 41/2023 hingga ME 47/2023 dengan kadar peningkatan antara 7.1 hingga 57.3 peratus.

Dr Muhammad Radzi berkata, terdapat lapan kluster Covid-19 yang masih aktif dilaporkan dengan 121 kes terlibat dalam kluster berkenaan.