Graduan asnaf UniSZA sertai projek tanaman Melon Manis Terengganu

Iklan
Ahmad Shahriman (dua dari kanan) bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof (tengah) dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam (dua dari kiri) melihat tapak projek Melon Manis Terengganu di UniSZA kampus Besut.

BESUT - Seramai 20 graduan asnaf dan B40 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berpeluang menimba ilmu dalam bidang pertanian menerusi Program Pembangunan Agroprenuer Graduan melibatkan projek Melon Manis Terengganu.

CIMB Islamic menyalurkan dana sebanyak RM350,000 meliputi sebanyak RM200,000 bagi kos pembinaan dua rumah hijau baharu dan RM150,000 untuk kos latihan kepada graduan berkenaan.

Iklan
Iklan

Projek hasil kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) itu dilancarkan di UniSZA Kampus Besut di sini pada 26 November lalu.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof, disaksikan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Iklan

Menurut Ahmad Shahriman, YDSM berperanan sebagai badan penerima dana dan pemantau projek manakala CIMB Islamic sebagai penyumbang dana dan UniSZA melalui Pusat Pemindahan Ilmu dan Pendidikan Berterusan (P2P) sebagai pelaksana projek selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 9 Mac lalu.

"Kami juga berharap program ini dapat terus menarik minat lebih ramai anak muda supaya terinspirasi dengan sektor pertanian sebagai satu cabang kerjaya yang boleh menjamin pulangan tinggi dan seterusnya menjana impak positif kepada negeri Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Sebahagian peserta Program Pembangunan Agroprenuer Graduan bagi Projek Melon Manis Terengganu merakam gambar ketika pelancaran projek di UniSZA kampus Besut.

Iklan

Ahmad Shahriman berkata, CIMB Islamic sentiasa mendukung inisiatif-inisiatif jangka panjang yang mendorong impak positif kepada komuniti sekitar, terutamanya terhadap golongan belia yang memerlukan lebih perhatian dalam kalangan masyarakat.

"Selaras dengan prinsip-prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai atau juga dikenali sebagai Value-Based Intermediation ("VBI”), kita akan terus memacu ke arah menjadi peneraju institusi kewangan dan pemangkin perubahan di seluruh negeri, termasuk di Terengganu," katanya.

Program Pembangunan Agroprenuer Graduan bagi Projek Melon Manis Terengganu itu turut dilengkapi dengan Aplikasi MMT-UniSZA menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC).

Aplikasi dibangunkan Fakulti Informatik dan Komputeran diketuai Dr Mohd Kamir Yusof itu bertujuan memastikan ketulenan produk yang dihasilkan.

Projek Melon Manis Terengganu adalah program intensif dan bersepadu dalam usaha untuk melahirkan usahawan di kalangan graduan khususnya dalam bidang pertanian, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan usahawan muda dalam sektor pertanian.

Melon Manis Terengganu merupakan produk Terengganu yang mempunyai kadar tumbesaran cepat dan boleh dituai dalam tempoh 60 hari sekali gus mampu memberikan pulangan yang cepat kepada pengusaha dan membantu meningkatkan ekonomi.