Runtuhan gudang: Anjing pengesan bantu operasi

Iklan
Anggota bomba bersama agensi penyelamat yang lain melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu. - Foto: Bernama

GEORGE TOWN - Khidmat dua ekor anjing pengesan digunakan dalam usaha mengesan empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tapak pembinaan gudang logistik yang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Khairy Sulaiman berkata, anjing pengesan hanya akan memasuki kawasan runtuhan selepas ia disahkan selamat.

Iklan
Iklan

"Keadaan ini kerana ketika kejadian, mereka sedang menjalankan kerja-kerja meletakkan rasuk sebelum berlaku runtuhan dan kawasan terlibat juga hanya sebesar gelanggang bola keranjang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Khairy berkata, operasi yang dilaksanakan tanpa henti sejak malam tadi, akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemukan dan dibawa keluar dari kawasan runtuhan, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Iklan

Dalam kejadian 9.58 malam tadi, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan itu runtuh.

Dua lagi mangsa dilaporkan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan, manakala empat lagi dipercayai masih tertimbus.

Iklan

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh pihak bomba dan penyelamat dibantu agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang. - Bernama