Mekanisme kawal ahli Parlimen Bersatu perlu diperketatkan lagi

Iklan
Mekanisme baharu yang dimaklumkan oleh Muhyiddin sebelum ini bagi mengawal ahli-ahlinya daripada beralih sokongan juga berkemungkinan perlu diperketatkan pada masa akan datang.

KECOH Dewan Negara pada Selasa apabila seorang lagi ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

Pendirian itu diumumkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

Iklan

Termasuk Syed Abu Hussin Hafiz, sudah ada lima ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak menyokong Anwar.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu.

Iklan

Kemudian langkah tersebut diikuti dengan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Melihat kepada situasi tersebut, adalah tidak mustahil bahawa situasi gerakan peralihan dari lima ahli Parlimen pembangkang itu akan berulang lagi pada kemudian hari.

Pengisytiharan menyokong Perdana Menteri itu mungkin dilihat sebagai berita baik kepada Kerajaan Perpaduan namun pastinya mendapat respon negatif daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ia secara tidak langsung juga mencetus tanda tanya berhubung solusi Bersatu itu sendiri kerana pada 19 November, presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah mendedahkan bahawa satu mekanisme baharu akan diperkenalkan untuk memastikan semua ahli Parlimennya kekal istiqamah dengan perjuangan dan dasar parti.

Namun begitu, apa yang menjadi tanda tanya penting ketika ini adalah persoalan sama ada Syed Abu Hussin Hafiz menerima peruntukan seperti yang dinyatakan sebelum ini atau tidak?

Pada 9 November, Syed Abu Hussin Hafiz memaklumkan akan memberi sokongan kepada kerajaan hanya selepas permohonan peruntukan RM30 juta bawah Belanjawan 2024 kepada kawasan Parlimennya diluluskan.

Tindakan itu dilihat berlainan dengan situasi ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang mengumumkan sokongan terlebih dahulu sebelum memperoleh peruntukan.

Ujar beliau, permohonan peruntukan itu antaranya untuk kerja-kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Menurutnya, selain itu sebanyak RM16 juta dana juga dimohon bagi pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim itu.

Dijangka perkara tersebut pasti akan dibangkitkan oleh ramai pihak kerana sebelum ini pun ahli Parlimen pembangkang termasuk Zahari dan Suhaili memaklumkan bahawa mereka sudah menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Sudah pasti keadaan yang berlaku itu akan mendorong parti Bersatu untuk memperkuatkan jaringan istiqamah mereka bagi mengelakkan lebih ramai lagi yang akan mengikuti jejak langkah tersebut.

Selain itu, sudah pasti mekanisme baharu yang dimaklumkan oleh Muhyiddin sebelum ini bagi mengawal ahli-ahlinya daripada beralih sokongan juga berkemungkinan perlu diperketatkan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan