Rombakan Kabinet: Ini jawapan Anwar

Iklan
Anwar menyantuni jemaah semasa majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani di Perbadanan Putrajaya malam Khamis. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengesahkan sama ada akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

"Januari? Kenapa Januari? Tak Disember," itu reaksi beliau kepada pemberita yang ditemui selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani, di sini, pada Khamis.

Iklan
Iklan

Kebelakangan ini, tercetus khabar angin mengenai rombakan Kabinet khususnya selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang ramalan yang dibuat program podcast Keluar Sekejap pada Rabu bahawa rombakan Kabinet yang mungkin berlaku Januari tahun depan.

Iklan

Dalam pada itu, ditanya mengenai prestasi menteri Kabinet selepas setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, Anwar menyatakan keyakinan, namun, dalam masa sama mengakui banyak benda lagi yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.

"Alhamdulillah kita sedaya upaya seluruh pasukan dan Insya-ALLAH kita akan perbaiki (kekurangan) dan (dengan) kekuatan baharu kita akan melonjak lagi tinggi," katanya.

Iklan

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu lima hari selepas berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau kemudian mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember tahun sama. - Awani