Elak dibuli, pemuda Afghanistan ceburi Muay Thai

Iklan
Nawib Ullah Bakshi. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PEMUDA asal Afghanistan, Nawib Ullah Bakshi, 22, mengakui termotivasi untuk menceburi sukan Muay Thai kerana enggan menjadi mangsa serangan keganasan atau buli.

Memasuki tahun kelima menetap di Malaysia, Nawib berkata, beberapa insiden buli yang dialami suatu ketika dahulu menjadikannya tekad mempelajari Muay Thai bagi melindungi diri dan keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, minat mendalam terhadap sukan itu kini membuahkan hasil setelah berjaya memenangi 19 daripada 27 rekod perlawanan keseluruhan sepanjang karier pembabitannya.

"Satu peluang baik untuk memenangi kejohanan akan datang kerana saya banyak berlatih dan mahu bertanding di pentas yang lebih besar lagi.

Iklan

"Tidak kira dengan siapa saya berlawan, saya terima dan mahu kumpul pengalaman dalam perlawanan sengit serta ganas ini,” katanya selepas sidang media Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 edisi ke-72 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.

Nawib Ullah Bakshi. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Seramai 28 petinju hebat daripada 14 regu akan berentap merebut hadiah berupa 12 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan dan piala berserta wang tunai.

Iklan

Hadir sama ke sidang media berkenaan ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh; Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang; ahli kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur dan barisan pengamal media.

Kejohanan terbabit juga mendapat sokongan daripada penaja rasmi Tourism Malaysia dan kerjasama rakan strategik seperti Yayasan Bena Nusa, MSWP, Neutrovis, minuman kesihatan Celcius Live Fit, Neutrovis, Pasaraya Borong Sakan, Sany Char Koay Teow dan Sinar Harian sebagai media rasmi.

Ditanya mengenai individu yang menjadi rol model dalam sukan tersebut, Nawib memaklumkan, petinju, Namsaknoi Yudthagarngamtorn dan Buakaw Banchamek dari Thailand adalah sosok tubuh paling dikaguminya.

"Saya dapat banyak inspirasi dengan menonton perlawanan daripada petinju Muay Thai di sana (Thailand), mereka ialah mentor saya untuk terus berlatih bersungguh-sungguh.

"Justeru, saya harap perlawanan pada 23 hingga 25 November ini dapat memberikan peluang dan pengalaman menarik buat diri saya,” ujarnya.