Pengundi Kemaman perlu 'pecah telur', beri peluang kepada BN

Iklan
Datuk Seri Ahmad Maslan - Foto Bernama

PONTIAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman perlu digunakan pengundi untuk meletakkan satu-satunya wakil Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengundi perlu berfikiran matang dengan tidak menghiraukan sentimen kononnya rakyat Terengganu masih dengan 'mood' untuk mengekalkan rekod 40-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Iklan
Iklan



"Sekiranya calon Pas iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kawasan berkenaan masih pembangkang di peringkat kerajaan Pusat.

"Pada pandangan saya, pembangunan yang ada di Kemaman ketika ini, banyak dilaksanakan ketika BN memerintah sebelum ini," katanya.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di daerah ini pada Ahad.

Sebelum itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan 'telur' dan masih dengan 'mood' 40-0 iaitu menolak kepimpinan UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Iklan

Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya dengan penguasaan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I mengingatkan pengundi Parlimen Kemaman agar menjadikan kawasan itu sebagai jambatan penghubung di antara Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.