Ekosistem perniagaan berdaya maju

Iklan
Muhammad Irsyaduddin memotong rambut seorang pelanggannya di kedainya di Kampung Ulu Chepor, Ipoh.

Muhammad Irsyaduddin memotong rambut seorang pelanggannya di kedainya di Kampung Ulu Chepor, Ipoh.

IPOH - Kedai gunting rambut atau ‘barber’ berkonsepkan ‘hipster’ yang diusahakan golongan belia semakin popular dan telah menjadi tarikan istimewa di Bandar raya Ipoh.

Iklan
Iklan

Menariknya, bukan sahaja menjadi pilihan warga tempatan untuk menggayakan rambut tetapi turut digemari para pelancong asing.

Seorang pengusaha, Zaim Sidqi Zulkifly, 32, berkata, sejak enam tahun memiliki Sharkroni Barbershop di Bandar Meru Raya, di sini, perniagaannya terus berkembang maju.

Iklan

Malah, beliau turut melahirkan melahirkan sekurang-kurangnya 13 orang tukang gunting rambut dan dua daripadanya telah berjaya menjadi usahawan dalam bidang berkenaan.

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa ekosistem perniagaan di bandar raya Ipoh ini amat baik untuk orang muda untuk menjadi seorang usahawan dan peniaga.

Iklan

"Ini kerana, kedudukan Ipoh yang strategik selain pelbagai perancangan secara sistematik telah dilaksanakan kerajaan negeri. Sebab itu ‘barber hipster’ di Ipoh ini boleh berkembang,” katanya kepada Sinar Harian.

ZAIM SIDQI

Tambah Zaim Sidqi, konsep hipster yang diketengahkan mempunyai masa depan yang baik dan dijangka kekal relevan kerana gaya potongan rambut sentiasa berubah mengikut peredaran semasa.

Pada masa sama, Zaim Sidqi turut mencadangkan agar kerajaan negeri dapat menyediakan kursus khas bagi membolehkan tukang gunting rambut memperoleh sijil kemahiran menerusi pembelajaran secara formal.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Muhammad Irsyaduddin Nordin, 25, menjelaskan minat terhadap bidang penggayaan rambut menyebabkannya menceburi bidang berkenaan seawal usia 21 tahun.

Selepas memahami selok-belok perniagaan itu, dia kemudiannya nekad membuka kedai gunting rambut sendiri yang diberi nama The Curl Barber Empire di Kampung Ulu Chepor, di sini.

"Bermodalkan RM10,000 yang dikumpul ketika bekerja, saya buka kedai sendiri. Alhamdulillah, setakat ini ia memberi pulangan yang memberangsangkan,” ujarnya.

Malah, Muhammad Irsyaduddin turut menyarankan supaya lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang perniagaan seperti mana yang dihasratkan kerajaan negeri.

Untuk rekod, ekosistem ekonomi yang mesra anak muda menjadi antara penekanan utama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat itu merupakan salah satu flagship di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menerusi program itu, ia bermatlamat mewujudkan satu warga, satu kemahiran seterusnya melahirkan seorang usahawan.