KPN mohon peruntukan polis terima rawatan di hospital tentera

Iklan
Zulkifli Zainal (kanan) pada sidang media selepas membuat kunjungan hormat terhadap Abdul Hamid sempena persaraannya pada awal bulan depan di Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan bagi membolehkan anggota dan kakitangannya menikmati kemudahan perubatan di Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ATM bersetuju memberi rawatan kepada kakitangan PDRM jika ada peruntukan.

Iklan
Iklan

"InsyaALLAH, saya akan berunding dengan kerajaan supaya semua kakitangan PDRM mendapat perkhidmatan yang baik daripada hospital tentera,” katanya selepas menerima kunjungan hormat sempena persaraan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin di Bukit Aman hari ini.

Pada 23 Disember lalu, Hamid mendakwa Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman berada dalam keadaan daif seperti 'dianak tirikan' kerana beberapa kemudahan anggotanya masih kurang.

Iklan

Beliau juga merayu kerajaan memberi perhatian kepada pasukan polis dan menyediakan fasiliti seperti dewan, lot parkir dan padang kawad di Bukit Aman.

Hamid turut membandingkan kemudahan ATM yang lebih lebih baik berbanding polis seperti mempunyai hospital, bangunan canggih dan mempunyai maktab tentera sendiri.

Iklan

Pada masa yang sama, Hamid berkata ATM sebelum ini menggariskan beberapa halangan tertentu bagi warga polis mendapat rawatan selain peluang polis menyambung pelajaran di pusat pengajian milik mereka.

Sementara itu, Zulkifli berkata, selain peruntukan hospital tentera juga memerlukan tambah baik infrastruktur.

Katanya, ATM dan polis sentiasa mempunyai hubungan yang baik bagi menjamin keselamatan negara.