Misi tiga mata Sabah di Likas

Iklan
Kim Swee bersalam dengan pengendali Hai Phong, Chu Dinh Nghiem. Turut kelihatan pemain Sabah, Dominic Tan dan kapten Hai Phong, Joseph Mbolimbo Mpande.

PEMAIN Sabah FC dituntut untuk lebih fokus dan berdisiplin apabila melayan kunjungan pendahulu Kumpulan H, Hai Phong dalam perlawanan Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.

Malah jelas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, ini penting dalam memastikan The Rhinos meraih keputusan positif bagi mencerahkan kemaraan ke fasa seterusnya apabila berdepan kelab Liga 1 Vietnam itu.

Iklan
Iklan

"Kalau kita tengok rekod Sabah bermain di Likas, kita berjaya mendapat gol awal atau pada separuh masa pertama.

"Jika kita berjaya menjaringkan gol satu atau dua gol pada awal permainan, namun bolos dua atau tiga gol bermakna perkara sama berulang seperti sebelum ini," kata Kim Swee pada sidang akhbar perlawanan Sabah menentang Hai Phong pada Rabu.

Iklan

Sabah selepas mengharungi tiga perlawanan mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan satu tewas.

Sabah menyingkap kempen kumpulan mengalahkan Hougang FC (3-1), diikuti PSM Makassar (5-0) sebelum tunduk kepada Hai Phong (2-3) pada 25 Oktober lalu.

Iklan

Tegas Kim Swee lagi, pemain Sabah juga perlu memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol selain meningkatkan fokus dan disiplin tinggi.

"Sekiranya banyak peluang yang kita cipta gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan sampai bila pun kita takkan menjaringkan gol.

"Aspek yang penting di sini sekiranya pemain Sabah dapat kekal fokus dan berdisiplin, saya percaya kita mampu dapat apa yang pasukan inginkan dalam perlawanan," katanya yang mengharapkan para penyokong The Rhinos hadir memberikan sokongan kepada pasukan tersebut.

Mengulas desas-desus kemelut dalaman Sabah FC, Kim Swee berkata,"Saya tidak nampak sebarang masalah kalau kita lihat dari segi prestasi pasukan.

"Yang penting di sini semua pemain menunjukan satu semangat yang cukup positif bukan sahaja dalam latihan tetapi juga perlawanan berdepan Hai Phong.

"Jadi apa yang kita dengar di luar sana perlu dipastikan sebelum menyatakan sesuatu."