Malaysia pandang serius RUU AS sekat sokong Hamas - Zambry

Iklan
Zambry

PUTRAJAYA - Malaysia memandang serius keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin pada Rabu lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberitahu, sehubungan itu pihaknya sedang melihat keseluruhan kandungan RUU berkenaan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan susulan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah turut melibatkan negara-negara lain.

"Kita masih lagi melihat keseluruhan RUU berkenaan dan berusaha, sepatutnya (bukan sahaja kita) malah seluruh dunia termasuk AS untuk mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera.

Iklan

"Malaysia akan bersama-sama dengan negara-negara lain melihat perkara ini.

"Ini kerana RUU baharu ini bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi semua negara yang dikatakan menyokong Hamas dan tidak seiring dengan AS," katanya kepada pemberita selepas Program Diplomasi Awam sempena Hari Wisma Putra di sini, pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut Zamry memberitahu, kerajaan akan terus mengamalkan dasar diplomasi aktif bagi membawa suara Malaysia di pentas antarabangsa berhubung isu-isu kemanusiaan di Palestin.

Meskipun Malaysia dianggap sebagai sebuah negara kecil, namun beliau memberitahu, peranan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak kemanusiaan sentiasa diberi keutamaan.

"Kita akan menggunakan semua pengaruh yang ada, Malaysia mungkin dianggap sebagai sebuah negara kecil, tetapi dalam konteks peranan dan pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Negara Membangun (G77) dan Global South, nama Malaysia sentiasa diberi keutamaan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia termasuk India dan Qatar pada minggu ini.

Menurut Kementerian Palestin, angka kematian penduduk Palestin akibat serangan berterusan tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat melebihi 9,000 nyawa. - Awani