Malaysia sambut baik resolusi gencatan senjata - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im

KUALA LUMPUR - Malaysia menyambut baik resolusi yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam berhubung gencatan senjata segera dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tanpa halangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, keputusan resolusi itu penting berikutan situasi terkini di Gaza yang dilihat semakin kritikal.

Iklan
Iklan

"Setiap minit dan saat begitu penting kepada rakyat Palestin di Gaza. Dalam (tempoh) seminit macam-macam perkara boleh berlaku seperti pengeboman bahkan capaian internet di sana juga hampir terputus... ini melibatkan isu kemanusiaan merentasi agama.

"Malah, kalau kita lihat negara yang menyokong resolusi ini juga kebanyakan negara bukan Islam dan sudah pasti kerajaan sambut baik resolusi yang dipersetujui oleh 120 negara,” katanya kepada pemberita pada program Ziarah Asnah 3.0, di sini pada Sabtu.

Iklan

Selain itu, Mohd Na'im mengucapkan syabas kepada rakyat Malaysia atas semangat solidariti yang ditonjolkan dan berharap agar usaha itu dapat terus ditingkatkan serta disambut oleh masyarakat Islam mahupun bukan Islam.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang memberi sumbangan kewangan untuk menggunakan saluran bantuan yang betul agar tidak tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab (scammer) yang mengambil kesempatan menubuhkan akaun sendiri bagi kepentingan diri.

Iklan

Berhubung mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) hari ini, beliau berkata, sebuah jawatankuasa kecil akan ditubuhkan di bawah HARMONI bagi mencadang dan melaksanakan program-program berbentuk perpaduan.

Jawatankuasa itu dianggotai 30 ahli terdiri daripada tiga wakil kerajaan, 10 wakil agama Islam, masing-masing empat wakil agama Buddha dan agama Kristian serta masing-masing dua wakil agama Hindu dan agama Tao.

Terdahulu, beliau membuat lawatan ke Pusat Agihan Zakat (PAZA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) cawangan Titiwangsa sebelum menziarahi tiga buah rumah asnaf di sekitar Kuala Lumpur. - Bernama