Warga emas rentung dalam kebakaran rumah

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SIBU - Seorang lelaki ditemukan rentung manakala empat lagi penghuni terselamat apabila rumah kediaman mereka di Kampung Halud, Matu kira-kira 115 kilometer dari sini, musnah dalam kebakaran awal pagi Jumaat.

Ketua Bomba Zon Sibu, Penguasa Kanan Bomba I Andy Allie berkata, Merais Aris, 68, meninggal dunia dalam kejadian, manakala empat yang terselamat merupakan anak dan cucu warga emas itu.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan saksi, warga emas yang bekerja sebagai buruh itu dikatakan gagal keluar menyelamatkan diri semasa kejadian.

"Pasukan pemadaman menemui mayat lelaki itu di depan pintu biliknya pada jam 5.05 pagi, dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, penduduk kampung memberitahu kebakaran itu disedari sekitar jam 2.15 pagi, manakala panggilan kebakaran diterima jam 2.51 pagi sebelum lima anggota pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dengan sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Operasi pemadaman terpaksa menggunakan sumber air terbuka dari parit berhampiran berikutan pili bomba di kawasan itu tidak ada air dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.45 pagi," katanya. - Bernama

Iklan