Negeri Sembilan Antlers dituntut segera bangkit

Iklan
Negeri Sembilan Antlers terpaksa akur dengan kehebatan Korea Haechi selepas tewas dalam aksi kedua Kumpulan A STL Champions Cup 2019 hari ini.

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah berharap barisan pemainnya melupakan kekalahan kepada Korea Haechi pada aksi kedua Kumpulan A Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup 2019 di Iskandar Malaysia Studios, Johor hari ini.

Sebaliknya, beliau menuntut regu Negeri Sembilan Antlers kekal fokus menjelang pertemuan menentang wakil Singapura - Singapore Lions pada aksi ketiga esok bagi mencerahkan kembali peluang mara ke semi final.

Iklan
Iklan

"Saya mahu para pemain melupakan kekalahan kepada Korea Haechi dan memberikan fokus kepada perlawanan seterusnya. Kita perlu ada mentaliti menang dalam setiap perlawanan.

"Walaupun Singapore Lions tidak dilabel sebagai pasukan pilihan tetapi kita perlu berwaspada dan tidak lalai. Kita juga pasukan 'underdog' tetapi akan berusaha memberikan tentangan sengit," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ketika aksi menentang Korea Haechi semalam, Negeri Sembilan Antlers terpaksa bermain dalam tiga set sebelum akur dengan kehebatan lawan. Biarpun menang mudah 21-10 pada set pertama, Negeri Sembilan Antlers tewas 12-21 pada set kedua sebelum tumbang 15-21 dalam set penentuan.

Wan Mohd Husni berkata, kebanyakan mata diperoleh pasukan lawan disebabkan para pemainnya gagal mengembalikan bola servis daripada tekong Korea Haechi, Lim Taegyun.

Iklan

"Kita akui Korea Haechi menurunkan semua pemain kebangsaan mereka. Kekuatan mereka adalah pada tekongnya. Pemain itu juga berpangkalan di Thailand dan bermain dalam liga di negara berkenaan. Namun, kita tetap berikan saingan sehingga set ketiga walaupun kalah," ujarnya.

Beliau memberitahu, anak-anak buahnya tampil dengan aksi meyakinkan apabila menang mudah pada set pertama, namun mula hilang fokus dalam dua set berikutnya.

"Set pertama kita bermain dengan baik sehingga menyebabkan regu Korea gagal mencari rentak. Namun, saya dapati pemain kita kehilangan fokus pada set kedua dan ia mungkin disebabkan faktor kepenatan. Apapun saya ingin memuji semangat ditunjukkan para pemain hari ini (semalam)," jelasnya.

Kelmarin, Negeri Sembilan Antlers bermula dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 21-10, 10-21, 21-19 ke atas Kelantan Warriors pada aksi sulung Kumpulan A.

Bagi aksi Kumpulan B, Indonesia Garuda meraih kemenangan pertama selepas membenam cabaran China Great Wall 21-8, 21-7.

Kelmarin, Indonesia Garuda tumbang di tangan regu Johor Tigris 7-21, 15-21.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Perak Bison mencatatkan kemenangan kedua selepas menundukkan Kelantan Warriors dalam perlawanan tiga set.

Set pertama dimenangi Kelantan Warriors dengan 21-19 tetapi Perak Bison kembali menemui rentak pada set kedua dan ketiga.

Dengan kemenangan itu, Perak Bison mengungguli Kumpulan A dengan empat mata diikuti Korea Haechi di kedudukan kedua.