Akaun Fleksibel KWSP dilaksana mulai tahun depan

Iklan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan meneruskan pelaksanaan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya akan menyediakan kemudahan Akaun Fleksibel dana itu mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Akaun Fleksibel atau Akaun III KWSP itu boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa khususnya ketika kecemasan.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel. Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini.

"Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan. Sekarang ini sedang dimuktamadkan," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pengeluaran bersasar berbanding cagaran caruman di institusi perbankan yang dibuat ketika ini untuk tujuan pembiayaan peribadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, mekanisme dan peratus dana yang akan dimasukkan dalam Akaun Fleksibel KWSP masih belum diputuskan.

Iklan

Menurutnya, pengeluaran bersasar KWSP sebelum ini membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM145.5 bilion.

Kata beliau, ia melibatkan kemudahan pengeluaran i-Lestari sebanyak RM20.8 bilion, i-Citra (RM21.4 bilion), i-Sinar RM58.7 bilion dan Pengeluaran Khas (RM44.6 bilion)

Sementara itu, Ahmad Maslan memberitahu, jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion setakat Jun lalu.

Katanya, jumlah pelaburan berkenaan dijangka akan meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding 2022.

"Untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP sudah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik," ujarnya.

Bagi 2023 pula, Ahmad Maslan memaklumkan, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan sudah diperuntukkan.

"KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan," jelasnya.