Separuh akhir Piala Malaysia: 397 polis kawal Stadium Perak

Iklan
Mohd Yusri

IPOH - Seramai 397 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) malam ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bagi memastikan tiada insiden luar jangka tercetus, kawalan ketat akan dilakukan bagi menjamin keselamatan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan.

Iklan
Iklan

"Kesemua anggota membabitkan pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Team Cantas, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Trafik dan tugas am ini akan ditugaskan di luar dan dalam Stadium Perak.

"Bukan setakat kawal pintu masuk sahaja, anggota juga akan berpakaian preman untuk ditempatkan dalam kalangan penonton. Seramai 60 anggota akan mengawal benteng pemisah antara kedua-dua penyokong," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut Mohd Yusri, penyokong The Bos Gaurus dan JDT dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dengan tidak membawa alatan atau barangan terlarang.

"Penyokong juga diminta hadir awal ke stadium, mematuhi arahan polis dan meletakkan kenderaan ditempat yang dibenarkan," katanya.

Iklan

Media melaporkan lebih 11,000 tiket perlawanan telah dijual sejak dibuka dua hari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin, kedua-dua pasukan dijangka akan menampilkan aksi sengit pada perlawanan kali ini.