MCM salur bantuan fasa ketiga berjumlah RM412,000

Iklan
MCM menghantar dua Exconya ke Kaherah, Mesir untuk memastikan dana rakyat Palestin dapat disampaikan kepada kelompok sasaran.

SHAH ALAM - Muslim Care Malaysia (MCM) telah menyalurkan bantuan fasa ketiga dengan dana sebanyak RM412,000 khusus untuk perubatan rakyat Palestin.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkolaborasi dengan MCM untuk sumbangan fasa ketiga itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Iman Care, Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dan Pertubuhan Khidmat Umah (PKU).

Iklan
Iklan

Dalam menjayakan misi bantuan berkenaan, MCM menghantar dua Exconya ke Kaherah, Mesir untuk memastikan dana rakyat Palestin dapat disampaikan kepada kelompok sasaran dalam tempoh masa terdekat.

Antara Exco yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan itu ialah Setiausaha Agungnya, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein yang telah berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Iklan

Ahmad Safuan berkata, di Kaherah pihaknya akan bekerjasama dengan sebuah gerakan kemanusiaan antarabangsa yang berpangkalan di London, United Kingdom iaitu ‘Miles of Smiles’ diketuai oleh rakyat Palestin, Dr Essam Mustafe.

"MCM sudah beberapa kali bekerjasama dengan Dr Essam yang memfokuskan penyampaian bantuan berkaitan perubatan kepada rakyat Palestin.

Iklan

Tambah beliau, segala bantuan akan digerakkan ke Gaza dengan kadar segera apabila pintu sempadan Mesir-Gaza di Rafah dibuka dan keadaan mengizinkan.

MCM menyalurkan bantuan fasa ketiga sebanyak RM412,000 khusus untuk perubatan rakyat Palestin.

Jelas beliau, MCM menyalurkan 100 peratus sumbangan yang diterima kepada rakyat Palestin dan Syria tanpa mengambil sedikit kos pengurusan.

"Setakat ini MCM sudah menyalurkan dana sebanyak RM787,000 untuk membantu rakyat Palestin dalam perang terkini dengan Israel yang mula tercetus pada 7 Oktober lalu dan sudah meragut ribuan nyawa.

"Fasa pertama melibatkan dana segera sebanyak RM100,000 dan dihantar pada hari ketiga perang kepada Pengerusi MCM Palestin, Ahmad Abu Ayesh di Gaza. Bantuan kedua menyusul seminggu kemudian dengan dana sebanyak RM275,000," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Safuan turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, agensi kerajaan dan swasta serta NGO yang memberi kepercayaan kerana sudi menjalinkan kerjasama dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.