Negeri Sembilan Antlers bermula langkah kanan

Iklan
Mohamad Hisham Mat menjadi watak utama kemenangan Negeri Sembilan Antlers ke atas Kelantan Warriors pada saingan Kumpulan A STL Champions Cup 2019 hari ini.

NEGERI Sembilan Antlers memulakan saingan STL Champions Cup 2019 dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan Kelantan Warriors 2-1 pada saingan Kumpulan A di Iskandar Malaysia Studio, Johor hari ini.

Namun begitu kemenangan tersebut tidak diperolehi dengan mudah buat Antlers kerana terpaksa berhempas pulas di set penentuan.

Iklan
Iklan

Set pertama dimenangi mereka 21-10 kemudian tunduk di set kedua 10-21 sebelum memastikan kemenangan mutlak di set ketiga dengan 21-19.

Kemasukan tekong, Mohamad Hisham Mat selaku pemain berpengalaman yang mengambil servis pada mata akhir set ketiga berjaya mengucar-kacirkan pemain Kelantan Warriors yang akhirnya menghadirkan mata kemenangan buat pasukan itu.

Iklan

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd Husni Abdullah memuji semangat juang tinggi ditunjukkan oleh pemainnya biarpun hadir sebagai pasukan underdog.

"Kita merupakan pasukan terakhir yang dimaklumkan untuk menyertai STL Champions Cup dan sebenarnya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan bagi kejohanan ini.

Iklan

"Kita semua tahu Kelantan Warriors, Penang Black Panters dan Korea Haechi adalah pasukan pilihan layak ke pusingan kedua tetapi saya nyatakan kepada pemain-pemain supaya buat yang terbaik. Hasilnya alhamdulillah kita menang pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Negeri Sembilan Antlers bakal berdepan wakil dari Korea Selatan, Korea Haechi pada perlawanan kedua esok.

Bagi Husni, pertembungan itu pasti sukar buat pasukannya kerana kelab daripada Korea itu turut membariskan pemain utama negara mereka.

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk kami tetapi saya harap pemain kekalkan momentum kemenangan, sama seperti perlawanan menentang Kelantan Warriors.

"Pemain-pemain kita ini terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan mereka yang kini mewakili Malaysia. Begitu juga dengan pemain import daripada Indonesia juga merupakan pemain kebangsaan. Diharapkan pengalaman mereka membantu kemenangan pasukan," katanya.

Sementara itu, perlawanan Kumpulan B menyaksikan Penang Black Panthers mudah menewaskan China Great Wall dalam aksi dua set 21-10 dan 25-23.