Wanita maut dirempuh pacuan empat roda

Iklan
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian belakang kepala. - Foto ihsan pembaca

JERANTUT - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer (KM) 4 Jerantut-Temerloh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Rosni Mokhtar, 42, beralamat di Kampung Pisang Temin di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian belakang kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, ketika kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Jerantut.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kenderaan jenis Ford Ranger mendakwa motosikal jenis Yamaha Ego S yang ditunggang mangsa berada di hadapan laluan sebelum berlaku perlanggaran.

Iklan

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di belakang kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan di KM4 Jerantut-Temerloh pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

Iklan

Mazlan berkata, susulan kejadian itu, pihaknya telah menahan pemandu berusia 52 tahun dan ujian air kencing dijalankan menunjukkan keputusan negatif.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kita sedang mengesan saksi-saksi bebas bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.