Lelaki parah ditetak ketika cuba selamatkan diri

Iklan

ALOR SETAR - Seorang lelaki cedera parah akibat ditetak dengan parang di sebuah rumah di Taman Keladi, Sungai Petani kelmarin.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 29 tahun diserang dua lelaki menggunakan parang ketika dia sedang membaik pulih motosikal di kawasan parkir rumah itu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, suspek dikatakan datang ke rumah berkenaan dalam keadaan marah dengan membawa parang sebelum mangsa melarikan diri masuk ke dalam tandas rumah itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya mengejar mangsa sehingga ke tandas sebelum salah seorang suspek menetak pintu tandas bertubi-tubi sehingga terbuka.

Iklan

"Ketika kejadian, ibu bapa mentua mangsa yang berada di tempat kejadian cuba menghalang dan memarahi suspek, namun ditolak suspek sehingga jatuh sebelum kedua suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani akibat kecederaan pada tapak tangan kiri sepanjang tiga inci dan dilaporkan stabil.

Iklan

Shamsudin berkata, punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak berpuas hati terhadap keluarga mangsa yang membuat laporan polis berkaitan ugutan yang dilakukan suspek sebelum ini.

"Susulan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan kira-kira jam 10.30 pagi semalam di Taman Paya Keladi di sini bagi membantu siasatan dan direman di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini," katanya.

Menurut Shamsudin, gerakan mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu sedang diusahakan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.