Penjawat awam dituduh cabul, aib rakan sekerja

Iklan
Tertuduh (kiri) mengaku tidak bersalah mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya.

Bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab, 29, mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan mangsa yang berusia 39 tahun.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyentuh tangan kiri dan kanan wanita tersebut dengan niat untuk mencabul kehormatannya di sebuah pejabat kerajaan di daerah ini pada jam 4.20 petang pada 25 November lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Iklan

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengaibkan kehormatan mangsa di lokasi sama pada jam 10 pagi pada 25 November lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 29 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh diwakili peguam, Othman Bakar.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 3.40 petang pada 6 Disember lalu di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin di sini.