Bapa durjana hadapi 105 pertuduhan rogol, liwat anak

Iklan
Tertuduh sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi tadi.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seorang bapa empat anak yang berdepan dengan 105 pertuduhan rogol dan liwat anak kandungnya sendiri yang berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh yang berusia 46 tahun itu membuat pengakuan berkenaan setelah kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nooriah Osman dalam tempoh dua jam oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berdepan dengan 104 pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Dia didakwa melakukan kesalahan rogol ke atas anak perempuannya bermula 14 Ogos sehingga 26 November lalu, antara jam 12 tengah malam sehingga jam 4 pagi di kediaman mereka di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Iklan

Bagi kesalahan itu, dia berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat, yang didakwa berlaku sekitar jam 12.01 tengah malam hingga 4 pagi pada 26 November lalu.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Sejurus pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, mahkamah menetapkan 15 Januari depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, kejadian itu terbongkar apabila gadis berkenaan mengadu sakit perut kepada ibunya pada 1 Disember lalu sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, dia mula menceritakan tentang kejadian rogol dan liwat yang dilakukan oleh bapa kandungnya sewaktu di hospital sebelum ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Chukai.

Ibu mangsa dan tertuduh dipercayai sudah 11 tahun bercerai dan mangsa mula menetap bersama bapanya di Kuala Berang sejak Mei lalu.