Taktikal Kim Swee tidak silap

Iklan
Adam Nor. - Foto: Persatuan Bola Sepak Malaysia

KAPTEN skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Adam Nor Azlin tidak meletakkan kesalahan terhadap formasi dan taktikal yang diterapkan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee sebagai punca kegagalan melepasi saingan Kumpulan A Sukan SEA Filipina 2019.

Katanya, segala percaturan dan arahan diberikan oleh jurulatih negara telah diikuti sebaik mungkin oleh barisan pemain Harimau Muda.

Iklan
Iklan

"Mungkin di sini kalau kita lihat ada pemain negara yang minit permainannya kurang di kelab tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan bagi skuad B-22 negara.

"Kita tidak boleh tengok kepada (formasi dan taktikal) ketika menewaskan Korea Selatan pada Sukan Asia sebelum ini dengan prestasi Harimau Muda pada kempen Sukan SEA kali ini kerana kita tidak akan ke mana-mana.

Iklan

"Para pemain percayakan formasi yang diberikan oleh jurulatih dan kita cuba laksanakan sebaik mungkin dalam setiap perlawanan tetapi kita gagal buat kali kedua di peringkat kumpulan," katanya.

Adam turut meletakkan harapan tinggi kepada pemain yang masih boleh beraksi pada temasya Sukan SEA akan datang bagi menebus kekecewaan.

Iklan

"Syaratnya mereka perlu bekerja lebih keras, memperbaiki kelemahan dan mempunyai keinginan," katanya.

Menjawab soalan berkaitan ketiadaan tonggak utama seperti Safawi Rashid, Adam menjelaskan para pemain tidak boleh hanya bergantung kepada seorang atau dua pemain sahaja untuk menang.

"Setiap pemain mempunyai kelebihan tersendiri kerana apabila dipanggil menyertai skuad sama ada senior atau B-22, mereka sebenarnya layak beraksi untuk negara.

"Tidak ada sebab untuk kita meletakkan beban kepada satu bahu saja," katanya.