Cadangan institusikan Muafakat Nasional belum diputuskan

Iklan
Mohamad melawat dan beramah mesra bersama pengamal media di Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC Kuala Lumpur.- Foto: Zahid Izzani

KUALA LUMPUR - UMNO belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menginstitusikan Muafakat Nasional melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pas atau tidak.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana pihaknya perlu menunggu laporan kajian daripada jawatankuasa teknikal melibatkan kedua-dua parti itu terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

"Itu (sama ada mahu institusikan Muafakat Nasional) terpulang kepada laporan daripada peringkat kajian jawatankuasa teknikal dua parti iaitu UMNO dan Pas.

"Kita di peringkat jawatankuasa perunding yang mana saya (mewakili UMNO) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (mewakili Pas) untuk lihat apa baik apa tidak baiknya.

Iklan

"Jika diinstitusikan menjadi satu parti (UMNO dan Pas) ataupun kita tidak jadikan satu parti, (tetapi) kita laksana jalinan kerjasama yang tidak mengikat mana-mana parti seperti di Parlimen Westminster (United Kingdom) punya cara, di mana selepas pilihan raya baharu kita berunding hendak campur (tubuh kerajaan) dengan siapa," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa supaya kepimpinan tertinggi parti segera menginstitusikan Muafakat Nasional.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun berkata, satu keputusan konkrit hanya akan dibuat selepas penilaian teliti dilakukan oleh wakil kedua-dua parti terlibat.

"Kita belum buat apa-apa keputusan lagi. Bahkan laporan daripada jawatankuasa teknikal pun belum kita perolehi," katanya.

Selain itu katanya, UMNO juga perlu membuat rundingan di peringkat parti kerana BN memerlukan konsesus.

Katanya, sebarang keputusan yang akan dibuat dibuat berhubung perkara itu juga perlu mendapat persetujuan semua parti komponen BN.