15 ditahan jalankan judi lumba kuda haram

Iklan
Telefon bimbit dan wang tunai antara yang dirampas dalam operasi yang dijalankan D7 Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Sebuah premis di Kuchai Lama yang dipercayai menjalankan kegiatan judi lumba kuda haram digempur dalam operasi dijalankan sepasukan polis dari bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, operasi dilakukan kira-kira jam 4.45 petang itu berjaya menahan 15 individu berusia antara 47 hingga 73 tahun.

Iklan
Iklan

"Mereka ini disyaki penganjur dan bookie.

"Kita juga telah merampas empat unit telefon bimbit, tiga buku jadual perlumbaan kuda, sembilan keping kertas tercatit nombor kuda, sembilan keping keratan akhbar berjadual perlumbaan kuda, dua kalkulator, enam batang pen serta wang tunai sebanyak RM6,498," katanya.

Iklan
Telefon bimbit dan wang tunai antara yang dirampas dalam operasi yang dijalankan D7 Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Rusdi turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap penganjur atau pemain.

Iklan

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat) Polis Kuala Lumpur," katanya.