[DIKEMASKINI] Ibu maut ditikam anak, mayat diletak atas kerusi roda

Iklan
Suspek yang meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda ditahan oleh orang awam. - Foto ihsan pembaca

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Hayat seorang ibu berakhir dalam keadaan tragis dan menyayat hati selepas dipercayai ditikam anak kandungnya di rumah mereka di Taman Kampung Padang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Sefiah Hamid, 62, maut dengan kesan tikaman di bahagian leher kanannya dipercayai ditikam anak lelakinya yang sakit mental.

Iklan
Iklan

Suspek berumur 38 tahun itu bertindak meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda sebelum menolak keluar dari rumah sejauh 50 meter.

Dia turut mencederakan dua lagi mangsa iaitu adik perempuannya bersama teman lelakinya yang kebetulan tiba di lokasi kejadian.

Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusuf Ali berkata, suspek dipercayai menikam ibunya menggunakan pisau dapur di bahagian ruang tamu yang didiami mereka pada jam antara 8.30 hingga 10.30 pagi.

"Sewaktu dia menolak kerusi roda itu, suspek bertindak menikam adik perempuannya yang kebetulan tiba di tempat kejadian bersama teman lelakinya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Iklan
Suspek yang meletakkan mayat ibunya di atas kerusi roda ditahan oleh orang awam. - Foto ihsan pembaca

Masitah Mustafa, 26, yang merupakan adik suspek mengalami cedera parah di belakang badan manakala teman lelakinya, Mohammad Azizan Awang, 37, cedera di lengan.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan tidak bekerja.

"Kita masih lagi menyiasat motif kejadian dan akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk proses pengebumian.

Menurutnya, mangsa yang cedera turut menerima rawatan di HTAA dan keadaan mereka dilaporkan stabil

"Kita sudah menahan suspek dan merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu.

"Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Gambar kejadian yang kini tular di laman sosial.