Enam ditembak dalam perjalanan menyambut Maulidur Rasul

Iklan
Gambar hiasan

SEMPORNA - Enam sekeluarga termasuk kanak-kanak berumur lapan tahun di Pulau Denawan, Semporna meninggal dunia dipercayai ditembak ketika dalam perjalanan menghadiri sambutan Maulidur Rasul bersama saudara mereka di Selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata, kejadian tersebut berlaku pada 5 November tetapi tiada sebarang laporan dibuat daripada dua ahli keluarga yang selamat.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya ada lapan orang di atas bot tersebut dan dua terselamat iaitu seorang lelaki dan wanita. Mereka tidak membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Laporan dibuat oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas mendapat maklumat mengenai kejadian itu. Mungkin mereka takut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya hari ini.

Iklan

Beliau berkata, mangsa yang terselamat menceritakan kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga menaiki sebuah perahu dari Pulau Denawan, Semporna ke Siasi, selatan Filipina.

"Perjalanan mereka pada waktu malam dan ahli keluarga berusia lapan hingga 50-an itu dihampiri sebuah bot yang kemudiannya melepaskan tembakan ke arah mereka.

Iklan

"Tembakan menyebabkan enam daripada lapan penumpang bot itu meninggal dunia. Kesemua yang meninggal dunia dikebumikan pada 7 November di Pulau Denawan," katanya.

Omar menjelaskan, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana kejadian dilaporkan berlaku di luar perairan Malaysia.

Mengulas lanjut beliau berkata, motif tembakan dipercayai balas dendam kerana tiada barangan termasuk wang mangsa yang dirampas.