31 perkara yang berlaku sepanjang 100 hari pelaksanaan PKP 3.0

Iklan
Malaysia tersenarai sebagai salah satu negara di Asia Tenggara yang teruk dibadai Covid-19 dalam kalangan satu juta penduduknya.

SHAH ALAM - Tanpa sedar, sudah setahun 10 bulan negara kita dilanda pandemik Covid-19 yang mula menghantui dunia pada Disember 2019 di Wuhan, China.

Kes Covid-19 yang pertama di Malaysia telah disahkan pada 25 Januari 2020 yang melibatkan para pelancong dari China yang tiba di Johor melalui Singapura.

Walaupun kes-kes yang dilaporkan pada awalnya terbatas kepada beberapa kes-kes yang diimport, beberapa kluster tempatan telah muncul pada bulan Mac 2020.

Kluster yang terbesar pada ketika itu dikaitkan dengan perhimpunan agama Jemaah Tabligh yang diadakan di Sri Petaling, Kuala Lumpur, yang membawa kepada kenaikan besar-besaran dalam kes tempatan serta pengeksportan kes ke negara jiran.

Sejak itu, beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat sehingga PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh susulan peningkatan kes mendadak Covid-19 yang mencecah 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

Pada Rabu bersamaan 8 September 2021, usia PKP 3.0 genap 100 hari pelaksanaannya.

Dalam tempoh itu, kita menyaksikan angka Covid-19 meningkat sebanyak dua kali ganda apabila jumlah kes keseluruhan mencecah 1,900,467.

Antara perkara yang berlaku sepanjang 100 hari pelaksanaan PKP 3.0 adalah kerajaan mewujudkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 hingga 4 sebagai strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Jika mengikut perangkaan PPN yang telah dilaksanakan sejak 1 Jun lalu, negara seharusnya sudah berada di Fasa 3 pada bulan ini dengan purata kes harian kurang daripada 2,000 kes.

Namun, hanya Melaka dan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3 mulai 4 September di mana semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali Spa dan kelab malam.

Ogos merekodkan kes paling teruk Covid-19 di mana sebanyak 24,599 kes positif Covid-19 tertinggi direkodkan pada 27 Ogos.

Varian Delta paling dominan di Malaysia, terbukti hasil penjujukan genom dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan makmal lain malah varian ni juga punca jangkitan utama di Lembah Klang menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (kesihatan awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Biarpun kes harian masih merekodkan lima angka, negeri yang menyumbangkan angka tinggi iaitu Selangor akan bertukar ke Fasa 2 pada Jumaat bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berikut merupakan 31 perkara yang berlaku sepanjang 100 hari pelaksanaan PKP 3.0:

1. Kerajaan mewujudkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 hingga 4 sebagai strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan perlailhan fasa PKP secara berperingkat.

2. Sebanyak 120 hotel terpaksa mengangkat bendera putih atau tutup operasi sejak Mac 2020.

3. Wujud kempen kibar bendera putih di kediaman rumah sebagai simbol orang awam memerlukan bantuan pada penghujung bulan Jun.

4. Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) daripada kerajaan diumumkan pada 28 Jun

5. Bermula 1 julai, antara kelonggaran yang didapati adalah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan

6. Jawatankuasa Khas jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan bekas pesakit Covid-19 iaitu individu yang pulih daripada jangkitan virus tersebut tidak lagi perlu menunggu selama tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.

7. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dilaksanakan 3 Julai sehingga 16 Julai akibat peningkatan kes di Selangor sebanyak 3.69 peratus dan Kuala Lumpur pada 0.72 peratus dari minggu 24 hingga 30 Jun 2021.

8. Sistem kesihatan negara semakin merudum apabila semua perkhidmatan rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ditutup sepenuhnya dan kapasiti katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad Covid-19 di hospital di Lembah Klang telah melepasi had maksimum. Hospital Sungai Buloh sudah tidak dapat menerima kemasukan pesakit malah Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) mengalami kesesakan teruk.

9. Pada 13 Julai, negara mencatatkan jangkitan Covid-19 melebihi 10,000 kes sehari iaitu 11,079 buat pertama kalinya.

10. Malaysia juga negara paling teruk dibadai Covid-19 di Asia Tenggara dalam kalangan satu juta penduduk. 11. Selangor mencatat kadar pemberian vaksinasi paling tinggi di Malaysia sebanyak 2.3 juta dos pada bulan Julai.

12. Terdapat perubahan pada PPN mengenai perubahan standard operasi prosedur (SOP) seperti kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus bagi Fasa 1 dan operasi premis perniagaan dibuka dari 6 pagi sehingga 10 malam bagi Fasa 2.

13. Pada 21 julai, pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dibuka melalui aplikasi Mysejahtera

14. Kerajaan membenarkan penerima vaksin merakam video suntikan mereka, manakala jururawat juga perlu menunjukkan picagari susulan kontroversi penipuan suntikan vaksin kosong kepada masyarakat.

15. Kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka satu juta apabila kes kumulatif mencatatkan sebanyak 1,013,438 kes buat pertama kali pada 25 julai lalu.

16. Ogos merekodkan kes paling teruk Covid-19 sepanjang penularan wabak tersebut di mana sebanyak 24,599 kes positif Covid-19 tertinggi direkodkan pada 27 Ogos dengan jumlah kes keseluruhan 1,640,843 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian melebihi 15,000.

17. Varian Delta paling dominan di Malaysia, terbukti hasil penjujukan genom dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan makmal lain malah varian ni juga punca jangkitan utama di Lembah Klang menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (kesihatan awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong.

18. Pada 5 Ogos, kes positif harian mencecah 20,000 buat pertama kalinya dengan angka 20,596 kes.

19. Pada 12 Ogos, sebanyak 45 kluster baharu direkodkan membabitkan 30 kluster tempat kerja dan 11 kluster komuniti.

20. 11 kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 PPN berkuatkuasa 16 Ogos iaitu kedai cuci kereta, gunting rambut, perabot, elektrik dan elektronik, barangan rumah, peralatan sukan, aksesori kereta, pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani, pakaian, fesyen dan aksesori dan barang kemas.

21. Individu lengkap vaksinasi dibenarkan untuk ‘dine-in’ atau makan di restoran di negeri Fasa 1 PPN berkuatkuasa 20 Ogos.

22. Pada bulan Ogos, sebanyak 47.2 peratus dewasa lengkap divaksin melebihi nilai ambang yang ditetapkan pada Pelan Pemulihan Negara dan 28 juta suntikan dos vaksin telah diberikan di Malaysia.

23. Pada 1 September, kes kembali melebihi 20,000 dengan 1,005 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana 464 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan

24. Terdapat peningkatan Covid-19 dalam golongan muda seperti bayi dan kanak-kanak di mana sehingga 30 Mei, sebanyak 82,341 kanak-kanak dijangkiti iaitu peningkatan 10 kali ganda berbanding tahun 2020.

25. Sebanyak 23,473 kes sembuh atasi kes baharu iaitu 20,988 kes direkodkan pada 3 September lalu.

26. Setakat 4 September, sebanyak 67.4 peratus atau 15,772,760 daripada keseluruhan populasi dewasa di negara ini direkodkan sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

27. Sektor pelancongan dibuka semula kepada pelancong tempatan bermula 16 September di Pulau Langkawi, Kedah

28. Penggiat seni kreatif boleh beroperasi dan pawagam turut dibuka kepada individu lengkap divaksinasi bermula 9 September dengan 50 peratus kapasiti.

29. Antara peraturan atau syarat yang mungkin diperkenalkan kini adalah Menteri Sumber manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata pekerja yang enggan mengambil vaksin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994

30. Seramai 2,500 orang guru dikesan enggan menerima vaksin di seluruh Malaysia atas faktor kesihatan serta sebab-sebab lain seperti tidak yakin dan sebagainya.

31. Jumlah kematian tertinggi direkodkan pada 8 Ogos iaitu sebanyak 360 kematian.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.