Tiada kesan tembakan pada bangkai gajah pygmy: Polis

Iklan
Gajah pygmy - Foto internet

KUALA LUMPUR - Tiada kesan tembakan ditemui pada bangkai seekor gajah pygmy dewasa yang ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, Sabah pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, terdapat lima kesan luka pada bahagian badan haiwan itu.

Iklan
Iklan

"Kejadian ini masih dalam siasatan dan kes telah diserahkan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah untuk maklumat lanjut,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Katanya, setakat ini, suspek terlibat membunuh haiwan berkenaan masih belum dikenal pasti dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi.

Iklan

Sehubungan itu, Mastor meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk membantu siasatan.

Bangkai gajah pygmy jantan dipercayai mati kira-kira lima hari itu ditemukan di ladang sawit terbabit dengan beberapa kesan luka dan tanpa gading.

Iklan

Pada 25 September lepas, bangkai seekor gajah pygmy ditemukan di Sungai Udin Dumpas, Kalabakan, Tawau dengan kesan tembakan, yang mana enam individu ditahan untuk membantu siasatan. - Bernama