Isa beritahu tak perlu bentang cadangan kepada ALP Felda: Saksi

Iklan
Mohd Isa Abdul Samad

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyatakan di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bahawa cadangan pengambilalihan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) yang bernilai RM160 juta di Kuching, Sarawak tidak perlu dibentangkan kepada ALP Felda.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, berkata, Mohd Isa menyatakan demikian selepas semua kertas lembaga dibentangkan dalam mesyuarat ALP FICSB ke-10 pada 29 April 2014.

Iklan
Iklan

"Selepas semua kertas lembaga dibentangkan, saya telah memaklumkan kepada ALP FICSB bahawa cadangan pengambilalihan MPHS ini perlu dibentangkan dalam mesyuarat ALP FELDA untuk mendapatkan kelulusan pelaburan.

"Memandangkan nilai pelaburan MPHS melebihi RM100 juta. Tan Sri Mohd Isa menyatakan dalam mesyuarat bahawa tidak perlu dibentangkan kepada ALP Felda memandangkan sebahagian daripada ALP Felda adalah ALP FICSB yang telah meluluskan pengambil alihan ini,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu ketika membaca penyataan saksinya.

Iklan

Saksi itu yang memberikan keterangannya pada hari keenam perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga berkata perkara itu tidak direkodkan dalam minit mesyuarat.

Mohd Zaid berkata, setahunya tidak semua ALP Felda adalah sama dengan ALP FICSB.

Iklan

"Hanya seramai lima orang ALP FICSB yang merupakan ALP Felda iaitu Tan Sri Isa, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, Datuk Faizoull Ahmad, Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.

"Dalam pengetahuan saya, sepatutnya sebarang pelaburan yang melebihi RM100 juta yang diluluskan oleh ALP FICSB perlu mendapatkan kelulusan daripada ALP Felda sebelum ianya diteruskan,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini, bagi cadangan pembelian ekuiti IRIS Corporation Berhad yang bernilai RM144.7 juta yang diluluskan oleh ALP FICSB, Mohd Isa telah memaklumkan kepada ALP FICSB untuk membentangkan cadangan itu kepada ALP Felda untuk diluluskan.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan bersambung hari ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Isa Samad anggap Ahli Lembaga Pengarah setuju beli hotel RM160 juta