'Keganasan tiada kaitan agama, kaum dan warna kulit'

Iklan
Musa Hassan

SHAH ALAM - Soal keganasan tidak boleh dikaitkan dengan agama, kaum dan warna kulit kulit kerana tiada kompromi terhadap mereka yang mahu menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka sebaik mungkin berlandaskan kepada undang-undang dan maklumat sahih terhadap mereka yang terlibat atau menyokong keganasan.

Iklan
Iklan

"Peranan PDRM adalah untuk menjaga keselamatan, keamanan dan keselesaan orang awam. Jadi setiap kumpulan yang ingin mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara ini akan dipantau walaupun mereka ini beroperasi di luar negara dan mempunyai sokongan oleh orang tempatan.

Katanya, kejayaan polis mematahkan atau melumpuhkan gerakan pengganas sejak dahulu disebabkan oleh kecekapan dan mempunyai hubungan baik dengan rangkaian pihak berkuasa antarabangsa.

Iklan

"Dengan bantuan polis antarabangsa ini, kita dapat maklumat tertentu daripada rakan sejawat tentang kumpulan-kumpulan pengganas yang beroperasi di negara mereka. Dengan itu kita lebih berhati-hati dan bersedia sekiranya ada pemimpin atau ahli kumpulan pengganas ini ke negara kita," katanya.

Mengulas mengenai pihak yang menggesa kerajaan untuk menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Musa berkata, mereka yang ditahan boleh membela diri di mahkamah.

Iklan

"Kalau dahulu kata polis salah guna kuasa melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) tetapi sekarang ia telah dihapuskan. Sekarang ada SOSMA di mana akan dituduh di mahkamah dan mereka yang ditahan boleh membela diri.

Jelasnya, suatu kejanggalan sekiranya kerajaan hari ini sendiri mempertikaikan tindakan polis yang melakukan penahanan kepada mereka yang dikatakan terlibat atau menyokong keganasan.

"Sepatutnya sebagai kerajaan mereka bertanggungjawab sama-sama mempertahankan keselamatan dan keamanan negara. Bukankan itu yang dimahukan oleh mana-mana negara di dunia ini?

"Pesanan saya kepada rakyat yang sayang dan cintakan negara agar sama-sama membantu polis dalam penyiasatan ini dan bukan menghina atau membantah dengan mengatakan polis menyalahgunakan kuasa," katanya.

Beliau turut berpesan kepada pemimpin politik di negara ini supaya tidak menjadikan penahanan mereka yang terlibat atau menyokong keganasan sebagai suatu akta dan agenda demi kepentingan peribadi.

"Semua perkara ini kalau melibatkan politik akan menjadi rumit kerana ramai yang hanya menjaga kepentingan diri sendiri sahaja dan bukan rakyat," katanya.

Musa berkata lagi, Islam menolak perbuatan keganasan dan sebab itulah tiada mana-mana pihak tampil mempertahankan mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas selepas ditahan oleh polis.

"Banyak tindakan diambil oleh polis di negara ini bagi mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas seperti Daesh. Bukan sahaja mereka yang terlibat malah orang Islam yang menyokong juga tidak diterima.

"Agama Islam itu menuntut kita untuk hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya.

Sementara itu Presiden Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, PDRM telah melaksanakan tugas mereka secara profesional demi keselamatan negara.

"Saya rasa apa yang diperkatakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa penahanan mereka yang terlibat mempromosikan atau menyokong keganasan tiada kaitan dengan soal agama dan kaum adalah profesional.

"Polis bertindak mengikut maklumat sahih. Kalau mengambil masa untuk menyiasat kesahihan sebelum mengambil sebarang tindakan. Tidak perlu ada pihak melompat dan mempertikaikan tugas polis, mereka lebih arif tentang perkara ini," katanya.

Beliau turut meminta supaya semua pihak bertenang dan tidak mengganggu tugas polis kerana dibimbangi menyebabkan perkara lebih buruk.

"Biarkan mereka laksanakan tugas tanpa ada gangguan daripada mana-mana pihak. Mereka lebih arif tentang isu ini," katanya.

Mohamed Arshad turut mengkritik tindakan pemimpin politik yang suka mengaitkan isu penahanan mereka yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas dengan agama atau kaum.

"Itu tidak sepatutnya berlaku. Polis tidak akan menyorok kebenaran dan di kemudian hari mereka pasti akan dedahkan kepada umum. Masa itu kita akan tahu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 individu tidak sepatutnya ditahan bawah SOSMA: Ramasamy