Pakar Jepun dalam misi bangunkan modal insan KTMB

Iklan
Jepun hantar dua pasukan pegawai dan pakar kereta api ke Malaysia susulan permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan bantuan negara itu dalam usaha meningkatkan penggunaan rangkaian kereta api sedia ada negara. - Foto internet

KUALA LUMPUR - Jepun telah menghantar dua pasukan pegawai dan pakar kereta api ke Malaysia susulan permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan bantuan negara itu dalam usaha meningkatkan penggunaan rangkaian kereta api sedia ada negara.

Pegawai kanan Jepun berkata, selepas Dr Mahathir membuat permintaan itu ketika bertemu rakan sejawatannya, Shinzo Abe pada Jun tahun lepas, pasukan Jepun telah menjalinkan kerjasama dengan pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) manakala Malaysia telah menjalankan misi kajian ke Jepun.

Iklan
Iklan

Ketua Kerjasama Antarabangsa di Kementerian Infrastruktur, Tanah, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Koji Shikama berkata, pada peringkat awal, kumpulan pakar telah dihantar ke Malaysia untuk menyediakan sokongan kepada KTMB diikuti oleh pasukan kedua baru-baru ini.

"Bagi setiap sektor yang kami berikan sokongan, kami telah berkongsi pengalaman Jepun dalam aspek berkaitan serta cadangan yang akan dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Malaysia," katanya.

Iklan

Aspek itu termasuk operasi kereta api, gerabak dan penyenggaraan landasan selain pembangunan sumber manusia, komunikasi isyarat dan tenaga elektrik.

"Di samping itu, memandangkan kami merasakan penting untuk pasukan Malaysia menyaksikan sendiri situasi di Jepun, kami telah menjemput pegawai dari Kementerian Pengangkutan Malaysia dan KTMB ke Jepun, selain menjalankan program latihan.

Iklan

"Pada Januari tahun ini, kira-kira 20 pegawai telah pergi ke Jepun bukannya hanya untuk merasai sendiri pengalaman kereta api Jepun malah berpeluang melawat ke beberapa kemudahan kereta api untuk menambahkan lagi pemahaman mereka mengenai sektor kereta api Jepun,” katanya.

Jepun juga bercadang menjemput kumpulan lain bulan depan sebagai susulan kepada maklumat yang telah dipelajari kumpulan terdahulu bertujuan menambahkan lagi pengetahuan mereka.

Shikama berkata KTMB juga menubuhkan kemudahan latihan untuk kakitangannya dengan banyak usaha telah dilakukan dalam membangunkan bakat, oleh yang demikian Jepun bersedia untuk terus memberikan bantuan bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran di KTMB.

Berdasarkan pemerhatian pasukan itu di Malaysia, beliau menjelaskan, memandangkan Malaysia terus berkembang dengan pesat, semakin ramai orang bergerak dan keperluan terhadap pengangkutan awam juga akan meningkatkan dorongan peralihan daripada mod sedia ada yang terlalu bergantung kepada kereta pada pagi dan petang.

Mengenai Jepun, Shikama berkata, di Tokyo dan daerah sekitarnya, yang mempunyai gabungan jumlah penduduk sebanyak 36 juta, 60 peratus daripadanya menggunakan pengangkutan awam berbanding 20 peratus di bandar seperti London dan New York.

"Disebabkan kewujudan rangkaian kereta api yang amat padat dan kereta api dioperasikan tepat pada waktunya, orang ramai dapat tiba di destinasi mereka tepat pada masanya.

"Atas sebab inilah ramai rakyat Jepun memilih untuk menggunakan kereta api sebagai satu bentuk pengangkutan dan ini direalisasikan oleh penyenggaraan dan pengurusan infrastruktur kereta api Jepun yang optimum, didorong tahap kemahiran tinggi pihak yang bekerja di syarikat kereta api.

"Kami percaya peningkatan tahap kemahiran kakitangan kereta api adalah amat penting. Kami akan menawarkan sokongan berterusan kepada KTMB dalam usaha memanfaatkan sepenuhnya pengangkutan awam,” katanya. - Bernama